Thursday, February 23, 2012

Soaljawab (3) - Kisah tanah pusaka

Soalan:

Assalamualaikum tuan, saya ingin memohon pendapat tuan. Halnya begini, ayah saya mempunyai sebidang tanah berukuran 3 ekar. Tanah tersebut sebelum ini diusahakan oleh arwah atuk saya (sebelah ibu) yang telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Tanah tersebut arwah atuk telah meletakkan nama adiknya di atas geran tanah tanpa pernah menyampaikan wasiat bahawa tanah itu akan menjadi milik anak-anaknya. Justeru apabila ibu saya telah berkahwin, ibu saya berhasrat untuk mendapatkan tanah tersebut apabila ditawarkan oleh adik arwah atuk. ibu bersetuju membayar semua bayaran yang dikenakan terhadapnya. Ini termasuklah cukai tahunan semenjak tanah diuruskan oleh adik arwah atuk dan juga harga nilai tanah ketika itu.

Ayah saya mengusahakan tanah tersebut dengan menanam pelbagai tanaman seperti buah-buahan tempatan dan kelapa sawit. Permasalahan yang timbul sekarang adalah apabila nenek (sebelah ibu) meminta agar tanah itu dibahagikan kepada tiga (ibu saya, kakak ibu, adik ibu) kerana nenek mengatakan bahawa tanah itu adalah tanah pusaka. Bahkan nenek juga meminta agar tanah dijual dan hasil daripada jualan dibahagi kepada tiga sekiranya ibu saya tidak mahu membahagikan tanah tersebut kepada 3 orang (ibu saya, kakak ibu saya dan adik ibu saya). Persoalannya di sini:

‎1. Adakah tanah tersebut memang tanah pusaka seperti yang nenek saya perkatakan?
2. Jika ya tanah itu adalah tanah pusaka, adakah ibu saya berhak meminta wang atas apa yang telah beliau usahakan atas tanah tersebut daripada adik beradiknya.
3. Jika tanah tersebut bukan tanah pusaka, bagaimana penerangan yang harus diperjelaskan kepada nenek kerana nenek pernah mengugut ibu saya dengan ayat-ayat yang sepatutnya tidak keluar dari mulut seorang ibu.
Segala maklum balas pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih :)

Semasa berlaku kematian atuk, warisnya yang ada masa tersebut adalah isterinya, seorang anak lelaki, 2 orang anak perempuan dan seorang anak angkat perempuan.


Jawapan:


Wa'alaikumsalam. Terlebih dahulu, terima kasih di atas perkongsian masalah pihak saudari. Terlebih dahulu, kita lihat siapakah waris arwah atuk dan pecahan Faraid.
1. Isteri (1/8 = 12.5%)
2. Anak Lelaki (7/16 = 43.75%)
3. Anak Perempuan 1 (7/32 = 21.88%)
4. Anak Perempuan 2 (7/32 = 21.88%)
Anak angkat tidak termasuk sebagai waris.

Daripada cerita saudari, Adik arwah atuk telah dilantik sebagai pemegang amanah oleh arwah atuk. Dan dia telah mewasiatkan harta tersebut sebagai milik anak-anaknya. Tetapi si ibu telah pun membayar nilai harga tanah termasuk cukai tahunan. Pada pendapat saya, ia telah pun menjadi hak si ibu. Hasil jualan tanah tersebut adalah nilai pusaka yang perlu dibahagi secara bijaksana/faraid setelah ditolak cukai.

Jawapan kepada soalan:
1. Tanah tersebut telah menjadi hak ibu setelah dibeli daripada adik arwah. Hasil jualan ditolak cukai adalah pusaka. Maksudnya si ibu mendapat 7/32 + cukai yang telah dibayar olehnya.
2. Sekiranya tanah tersebut masih belum dibeli oleh si ibu, maka hak waris masih ada ke atas hasil usaha tanah tersebut. Tetapi si ibu berhak mengambil bahagian pengurusan tanah. Hasil bersih perlu dibahagi secara adil.
3. Tanah tersebut tidak dikira pusaka setelah dibeli oleh si ibu. Maka saya rasa, nenek perlu dijelaskan dengan kerjasama adik arwah yang menjadi pemegang amanah tanah tersebut.









Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjutan tentang penyediaan perancangan harta pusaka, Wasiat, Harta Sepencarian, Hibah dan Amanah, boleh hubungi saya:




Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
Telefon/Telegram: 011 035 6552
Email: abdkarimiep(at)gmail.com
FB page: Perancangan Harta Pusaka Anda

No comments:

Post a Comment