Monday, February 13, 2012

Apa Guna Menulis Wasiat Kalau Waris Menentangnya?

Saya ada menerima satu email daripada pembaca blog saya yang berbunyi lebih kurang macam ini:

"Kami mempunyai empat anak perempuan dan tidak ada anak lelaki. Tidak ada maknanya kami menulis wasiat untuk anak-anak kerana ia tidak boleh dilaksanakan akibat ditentang oleh waris lelaki lain seperti adik-beradik lelaki kami. Adakah ini benar? Dan minta cara yang terbaik dilakukan."

Jawapannya ialah "Benar" atau "Tidak benar"

Adalah "benar" wasiat boleh ditentang oleh waris lelaki lain khususnya adik-beradik lelaki bagi pasangan suami-isteri di atas. Ini kerana hak-hak waris telah dinyatakan dengan jelas dalam hukum Faraid yang bersumberkan al-Quran.

Wasiat adalah pesanan pewasiat kepada orang yang hidup mengenai pembahagian harta apabila pewasiat meninggal dunia. Apabila berlaku kematian pewasiat, maka hilanglah haknya ke atas hartanya, maka berpindahlah hak menuntut harta itu kepada waris-warisnya. Maka menjadi hak pewaris membahagikan harta si mati.

Wasiat terpakai juga kepada bukan waris seperti pembahagian kepada anak angkat (itu pun tidak lebih 1/3 daripada jumlah harta), wakaf kepada masjid dan derma.

Adalah "tidak benar" wasiat tidak boleh dilaksanakan sekiranya semua anak adalah perempuan. Pewaris yang matang dan rasional akan menghormati wasiat. Waris-waris sedar harta yang diwasiatkan adalah harta pewasiat dan wajar hak pewasiat membahagikan hartanya kepada yang orang yang dia suka. Jadi, biasanya waris menghormati wasiat.

Bagi menguatkan wasiat supaya ia dipatuhi oleh pewaris, maka pewasiat hendaklah menulis wasiat dengan sebaik mungkin. Bagi orang Islam, penulisan wasiat hendaklah diselitkan dengan unsur-unsur keislaman dan keimanan. Contohnya adalah seperti berikut:
  • Masukkan "Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani" pada mukadimah wasiat,
  • Sebagai orang Islam, kita hendaklah percaya kepada kehidupan selepas mati, dan insaflah kita sebagai mahluk Allah,
  • Harta dunia adalah pinjaman sahaja, harta dunia adalah hak Allah; jadi janganlah kita tamak dan sombong.
  • Hanya amalan dan ilmu semasa hidup di dunia, sedekah, doa anak yang soleh yang membantu kita selepas mati, bukannya harta berkoyan-koyan.
  • Patuhilah kepada ajaran Islam dan berpeganglah kita kepada al-Quran dan hadis.
  • Mohon waris-waris menghormati wasiat ini, janganlah berbalah-balah dan berebut-rebut harta semasa di dunia ini, akhirnya harta ditinggalkan juga.
  • Mohon waris-waris melepaskan hak-hak mereka dan mematuhi wasiat ini.
  • Semoga hidup kita diberkati Allah kerana tiada permusuhan di kalangan waris, semoga kita mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.
  • Berilah kami kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, dan jauhlah daripada seksaan api neraka.
Kita percaya dengan memasukkan kesedaran mengenai Islam dan keamanan, InsyaAllah pewaris akan mematuhi wasiat.


Satu lagi cara ialah dengan membahagikan harta siang-siang

Kalau kita meragui akan keberkesanan wasiat, maka jalan yang paling senang ialah membahagikan (hibah) semua harta semasa hidup kepada sesiapa sahaja yang kita sukai terutama kepada semua anak, perempuan atau lelaki. Apabila kita meninggal, saudara-mara dan adik-beradik pun tak ada hak nak tanya fasal harta kita.

Sekiranya ibu bapa takut tinggal sehelai sipinggang kerana harta habis digadai atau dijual oleh anak-anak jika dihibahkan, maka jalan yang terbaik ialah membuat Pri-Hibah. Instrument Pri-Hibah ialah satu dokumen perundangan bagi membahagi harta semasa ibu bapa hidup tetapi pindah milik harta kepada pewaris akan berkuatkuasa selepas ibu-bapa meninggal dunia. Dengan lain kata, pri-hibah ialah pemberian bersyarat kepada pewaris. Selagi ibu bapa masih hidup, pindah milik tidak akan berlaku kepada anak-anak.


Kesimpulan

Harta patut dibahagi kepada waris semasa pemiliknya masih hidup. Ini bagi mengelakkan harta terbeku dan tidak produktif sekiranya tidak dibahagikan semasa hidup. Ia juga mengelakkan pertelingkahan keluarga.

Umumnya wasiat adalah satu pesanan kepada waris apabila pewasiat meninggal. Ini termasuklah wasiat membahagikan harta kepada waris dan bukan waris. Ia adalah satu instrumen perancangan harta yang penting kepada semua umat Islam. Tanpa wasiat, pembahagian harta akan ditentukan oleh waris-waris. Sekiranya ada pertelingkahan semasa membahagi harta, maka waris kena mematuhi Hukum Faraid. Hukum Faraid adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengagihkan harta.

Jadi, ia adalah pilihan kita bagi menentukan kaedah membahagikan harta.


Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjutan tentang penyediaan perancangan harta pusaka, wasiat, dan pri-Hibah boleh hubungi saya:



Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
Telefon/Telegram: 011 035 6552
Email: abdkarimiep(at)gmail.com
FB page: Perancangan Harta Pusaka Anda
 

No comments:

Post a Comment