Thursday, November 3, 2011

Wang Pencen Tidak Dikira Harta Pusaka


Soalan: SAYA ingin tahu mengenai wang ganjaran dan pencen   seorang kakitangan awam yang sudah meninggal dunia. Si mati mempunyai dua isteri, seorang diceraikan (dengan isteri ini dia mempunyai tiga anak berusia daripada 17 tahun hingga 20-an) manakala isteri keduanya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah. Kemusykilan saya ialah wang pencen dan ganjaran si mati hanya dinikmati oleh semua anak tirinya, isteri dan anaknya sendiri yang berusia 17 tahun saja. Dua lagi anak si mati tidak mendapat sebarang habuan. Saya berpendapat dalam hal ini pembahagian adalah sangat tidak adil kerana anak sendiri tidak mendapat apa-apa habuan daripada harta (wang ganjaran dan pencen) bapa mereka. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi?
Isteri musykil,Selangor.

JAWAPAN
: PUAN, untuk menjawab persoalan ini, rujukan akan dibuat terhadap Akta Pencen. Pencen adalah harta kepunyaan seseorang jika beliau menerima pencen itu semasa masih hidup. Oleh itu, apabila meninggal dunia, pencen yang masih belum sempat dikeluarkan semasa hayatnya adalah menjadi pusaka dan perlu dibahagikan menurut faraid.
Menurut Perkara 27 (1) Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 1980), wang pencen si mati boleh dibayar kepada orang tanggungan si mati tanpa perlukan sebarang surat kuasa.
Bagaimanapun, apabila ia termasuk sebagai pusaka, penerima pencen hendaklah membahagikannya kepada waris menurut faraid.
Merujuk persoalan puan, isteri yang diceraikan sebelum si mati meninggal dunia, tidak termasuk sebagai waris pusaka. Namun, puan tidak merujuk secara khusus dan jelas berkaitan anak dan isteri mana yang menerima wang pencen dan ganjaran si mati. Maka, huraian ini adalah khusus kepada huraian biasa berkaitan 1) pencen, 2) pencen terbitan, 3) ganjaran dan 4) ganjaran terbitan.

Apabila pesara meninggal dunia, bayaran pencen kepada akan diberhentikan. Bayaran pencen akan disambung bayar kepada orang tanggungan dan bayaran itu dinamakan Pencen Terbitan. Akta Pencen menetapkan apabila pesara meninggal dunia, bayaran pencen berikutnya akan dibayar kepada orang tanggungan yang layak menerima saja.
Tafsiran orang tanggungan menurut Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238) menyatakan, mereka termasuklah balu atau duda dan anak pesara (si mati) yang belum mencapai umur 21 tahun dan belum berkahwin serta anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi untuk ijazah pertama. Anak angkat, cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal sehingga tidak mampu menanggung diri sendiri juga layak mendapat pencen terbitan itu.
Untuk menentukan jumlah akan diterima setiap bulan oleh tanggungan, ia dikira 1/600 x tempoh perkhidmatan (dikira dalam bulan) x gaji terakhir pesara.
Menurut Wan Abdul Halim Wan Harun dalam Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka yang merujuk kertas taklimat Pengurusan Pencen di bawah Sistem Pentadbiran Pencen oleh Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam antara lain menyatakan, objektif Skim Pencen yang hanya dibuat kepada tanggungan pesara dan bukannya waris menurut faraid adalah untuk meringankan beban tanggungan dengan memberi saraan hidup kepada tanggungan pesara yang meninggal dunia sebagai pengorbanan atau pemberian kerajaan kepada kakitangannya. Maka, pencen terbitan TIDAK dikategorikan sebagai harta pusaka.

Ganjaran pula adalah pemberian majikan kepada kakitangan yang sudah bersara atau dikehendaki bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Ia diberikan secara sekali gus kepada anggota yang berpencen bukan seperti pencen yang akan dibayar setiap bulan kepada pesara.
Menurut Wan Abdul Halim yang merujuk Perkara 4 Peraturan-peraturan Pencen 1980 PU (A) 176 tahun 1980, ganjaran diberikan kepada pesara dikira mengikut formula yang ditetapkan iaitu 1/20 x tempoh perkhidmatan (dikira dalam bulan) x gaji terakhir diterima.
Namun, jika seseorang itu bersara, ganjaran akan diberikan kepadanya. Jika beliau meninggal dunia, ganjaran akan diberikan kepada tanggungannya iaitu balu, anak, duda dan ibu bapa. Ia dinamakan ganjaran terbitan.

Akta Pencen TIDAK mentakrifkan ganjaran terbitan sebagai harta pusaka si mati walaupun sehingga kini khalayak mempersoalkan supaya ganjaran terbitan boleh ditakrifkan sebagai harta pusaka dan hendaklah dibahagikan menurut faraid.
Sudah diperbincangkan bahawa ganjaran terbitan tidak boleh disamakan dengan pencen terbitan. Ini kerana pencen terbitan dikatakan sumbangan kerajaan kepada tanggungan si mati setiap bulan dan ia akan terhenti dengan sebab tertentu seperti apabila anak mencapai umur 21 tahun, sudah berkahwin, tamat pengajian ijazah pertama atau balu atau anak kurang upaya kemudian meninggal dunia.
Ganjaran terbitan diberikan bersangkutan dengan khidmat seseorang dalam kerajaan. Jumlah bayaran berdasarkan tempoh perkhidmatan pesara. Oleh itu, perkiraan ganjaran terbitan sudah ada dan jumlahnya sudah diketahui apabila berlaku kematian. Namun, sehingga kini tujuan dan matlamatnya kurang jelas.

Walaupun Jawatankuasa Fatwa pada 12 September 1988 menyarankan supaya Akta Pencen 1980 dikaji semula namun muzakarah bersetuju bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan TIDAK TERMASUK  sebagai harta pusaka dan kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.
Ini berdasarkan hujah jawatankuasa itu bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan yang diperuntukkan Akta Pencen 1980 ialah hadiah kerajaan kepada tanggungan kakitangan kerajaan apabila kakitangan itu meninggal dunia.
Pemberian dibuat atas asas ganjaran kerana perkhidmatan dengan kerajaan seperti diperuntukkan dalam Akta Pencen. Pemberian itu disebutkan sebagai hak tanggungan dan jumlahnya tidak diketahui. Maka, ganjaran dan pencen BUKANLAH  sebagai harta pusaka atau peninggalan si mati yang mesti dibahagikan menurut faraid.
Oleh itu, puan dinasihatkan merujuk persoalan puan kepada kaedah pembahagian di Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam demi mengetahui pembahagian dan tanggungan yang disenaraikan oleh pesara semasa hayatnya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.

Anda mahu membuat wasiat atau ingin maklumat lanjut? Hubungi saya:


Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
as-Salihin Trustee Bhd
Telefon/sms: 019 355 6552
Email: abdkarimiep<at>gmail<dot>com

No comments:

Post a Comment