Mengikut Hukum Syarak, Harta Sepencarian bermaksud pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Harta Sepencarian adalah “harta-harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan secara bersama oleh Suami dan Isteri yang melibatkan harta alih (wang, kenderaan dll) dan harta tak alih (rumah, tanah, saham dll”). Biasanya isu Harta Sepencarian timbul apabila berlaku penceraian dalam rumah tangga. Suami ataupun isteri apabila berlaku penceraian akan menuntut harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah untuk Mahkamah menentukan pembahagian yang patut diterima ke atas harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan sebelum berlakunya penceraian.
Mahkamah Tinggi Syariah Perak di bawah bidangkuasanya (Seksyen 50 (3)(b)(v), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 hendaklah menentukan pembahagian harta sepencarian yang dituntut mengikut (Seksyen 122(2)(a)(b)(c) Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004).
Di bawah Seksyen 122(2)(a)(b)(c) Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, Mahkamah hendaklah dalam menentukan pembahagian Harta Sepencarian melihat kepada:
1. Takat Sumbangan - Sumbangan yang telah dibuat oleh setiap pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu;
2. Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
3. Keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada;
Setelah mengambil kira semua pertimbangan-pertimbangan di atas, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang “sama banyak” atas harta sepencarian yang dituntut oleh pihak Plaintif dan Defendan;
Sekiranya berlaku “kematian” samada suami atau isteri, di dalam perkahwinan atau setelah berlaku penceraian, pihak suami atau isteri yang masih hidup boleh menuntut harta sepencarian dengan menamakan waris-waris yang menerima harta faraid si mati sebagai Defendan-Defendan. Contohnya seperti berikut :
"A dan B telah berkahwin dan kemudian telah bercerai. A tidak sempat menuntut harta sepencarian dari B selepas penceraian kerana B telah meninggal dunia. Hasil perkahwinan A & B telah dikurniakan dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Bapa dan ibu B telah meninggal dunia dahulu sebelum B meninggal dunia. Oleh sebab B telah meninggal dunia, A masih mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian dari waris-waris faraid B"
Di dalam kes di atas, A hendaklah menuntut harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah dengan menamakan waris-waris faraid iaitu anak-anak lelaki dan perempuan sebagai Defendan-Defendan di dalam kes Harta Sepencarian yang difailkan. Setelah Mahkamah membuat keputusan, harta yang telah diisytiharkan sebagai Harta Sepencarian A dengan B, setelah ditolak bahagian A, baki harta bahagian B (si mati) akan dibahagikan kepada waris-waris mengikut hukum faraid.
Di Negeri Perak, permohonan harta sepencarian bolehlah difail di kaunter Mahkamah Tinggi Syariah di alamat Mahkamah Syariah Perak, Tingkat 5, Jalan Pari Off Jalan Tun Abdul Razak, 30100, Ipoh, Perak atau boleh bertanya kepada Pembantu Pendaftar MTS Perak dengan menghubungi di No Telefon 05-5018400.
Berikut adalah dokumen-dokumen yang diperlukan bagi pendaftar kes Harta Sepencarian.
- Saman dan Penyata Tuntutan (ditaip sendiri oleh Pemohon) - 4 salinan
- Kad Pengenalan Pemohon - 4 Salinan
- Surat Nikah /cerai - 4 salinan
- Bukti Harta yang dituntut ( Geran Tanah, Geran Kereta dll - 4 salinan
- Sijil Kematian ( Jika berkenaan ) - 4 salinan
- Apa-apa dokumen berkaitan yang menyokong permohonan ini - 4 salinan
Sumber: http://mtsperak.blogspot.com/
Maklumat tambahan:
Penerangan Mengenai Harta Sepencarian
Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjutan tentang penyediaan perancangan harta pusaka, Wasiat, Harta Sepencarian, Hibah dan Amanah, boleh hubungi saya:
Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
Telefon/Telegram: 011 1035 6552
Email: abdkarimiep(at)gmail.com