Sunday, July 22, 2012

Hibah Dalam Islam

Hibah mungkin suatu yang asing dan jarang di dengar masyarakat Islam di negara ini berbanding zakat, sedekah, hadiah, wakaf atau wasiat. Namun, hibah bukanlah instrumen kewangan yang baru kerana sudah wujud sejak awal Islam lagi.

Hibah ialah suatu akad mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia.

Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam. Islam juga tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta yang hendak dihibahkan daripada milik pemberi hibah.

Terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, jika harta hendak dihibahkan kepada anak-anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.

Jumhur ulama Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat, sunat menyamakan pemberian antara anak. Melebihkan pemberian kepada seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak adalah perkara yang wajib.

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.

Disyaratkan pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian, sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya barang yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya. Penerima hibah pula boleh terdiri daripada sesiapa saja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta.

Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah juga disyaratkan boleh memegang, menguasai atau mengawal harta dihibahkan.

Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, milik pemberi hibah, boleh diserah milik dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

Barang atau harta yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Manakala, sighah hibah disyaratkan ada persamaan antara ijab dan qabul serta tidak bersyarat.

Menurut mazhab Syafie dan Abu Hanifah, penerimaan barang (al-qabd) adalah syarat sah hibah. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta itu.

Ertinya, akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa jika sekadar ada ijab dan kabul semata-mata, melainkan selepas berlaku penerimaan barang oleh penerima hibah. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

Jika berlaku kematian antara salah satu pihak sebelum penerimaan barang, maka hibah terbatal.

Bagi harta tak alih seperti rumah dan tanah, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad satu pertiga daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang tidak berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.

Deklarasi hibah perlu dibuat secara bertulis, dengan khidmat peguam syarie bertauliah, supaya dokumen itu tidak berlawanan dengan hukum syarak dan undang-undang. Hibah secara bertulis atau sempat dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup mungkin tidak mendatangkan masalah.

Jika isu mengenai hibah timbul selepas pemberi hibah mati dan hibah tidak dibuat secara bertulis, pengesahan status hibah perlu di buat di Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul ialah saksi tidak cukup, saksi sudah meninggal dunia atau kesaksian yang tidak konsisten.

Hibah dapat membantu ekonomi umat Islam, merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Konsep hibah wajar disuburkan kembali dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Kata orang, harta tidak boleh dibawa mati. Namun, disebabkan harta yang tidak diurus dengan baik berdasarkan peraturan dan hukum Allah semasa hidup, maka roh si mati tidak aman di alam kubur, lantaran waris yang masih hidup berebut sesama sendiri.

HIBAH

* Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam.

* Jika harta hendak dihibahkan kepada anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.

* Empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.

* Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.

* Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal.

Oleh Tuan Musa Awang
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com



Lagi kisah dan penggunaan instrument hibah/deklarasi hibah di sini:
FAQ (3) - Perancangan Harta Pusaka - Deklarasi Hibah dan Harta Sepencarian
Bagaimana Perancangan Harta Membantu Anda
Apa Guna Menulis Wasiat Kalau Waris Menentangnya?
Kisah Hj Ramlee Membahagi Harta Pusaka Kepada Anak Angkat




Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjutan tentang penyediaan perancangan harta pusaka, Wasiat, Harta Sepencarian, Hibah dan Amanah, boleh hubungi saya: atau Langkah mudah klik di sini





Abd Karim Abu Bakar.
(Perancang Harta Pusaka Islam)
Telefon/Telegram: 011 1035 6552
Email: abdkarimiep(at)gmail.com

Monday, June 25, 2012

JKPTG Menyediakan Borang Atas Talian



Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) kini menyediakan kemudahan permohonan Pembahagian Pusaka Kecil Secara Atas Talian. Borang boleh dimuatturun oleh waris dari portal ini: http://www.kptg.gov.my




Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjutan tentang penyediaan perancangan harta pusaka, Wasiat, Harta Sepencarian, Hibah dan Amanah, boleh hubungi saya:





Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
Telefon/Telegram: 011 1035 6552
Email: abdkarimiep(at)gmail.com

Thursday, June 21, 2012

Lindungi Aset Dan Masa Depan Orang Yang Anda Sayangi

Lindungi Aset dan Masa Depan Orang Yang Anda Sayangi



Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon dari seorang yang saya kenali. Beliau menceritakan tentang sahabatnya yang baru seminggu kematian ayahnya. Sahabatnya telah pergi ke bank untuk mengeluarkan duit arwah tapi pihak bank mahukan LA (Letter of Administration). Jadi sahabat ini terpaksa ke sana ke sini, menelefon sana-sini, menelefon kawan-kawannya untuk mengetahui di mana dan bagaimana nak mendapatkan LA.

Oleh kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang urusan faraid dan wasiat ini, maka saya telah memberikan nasihat dan apa yang patut sahabat tersebut lakukan. Moga Allah mempermudahkan urusan sahabat ini.

Apa yang saya nak ingatkan pada orang kita yang kebanyakannya rata-rata tidak mengambil endah tentang membuat wasiat. Andai ditakdirkan ajal kita telah sampai ketika ini, atau pagi besok, apa akan jadi pada orang yang kita sayangi: ibu ayah, isteri dan anak-anak kita.

Sanggupkan anda melihat anak-anak, isteri atau ibu bapa bermasalah setelah kita meninggal dunia. Dalam keadaan mereka masih bersedih akibat pemergian kita, kita pulak menambahkan beban pada mereka. Nak kena pegi bank lah, nak kena pegi pejabat tanah lah, nak pegi jumpa ustaz/imam atau mana-mana orang yang tahu tentang urusan pembahagian harta pusaka ini. Ke sana ke mari tak tentu pasal sebab nak menyelesaikan urusan harta pusaka yang kita tinggalkan.

Silap-silap jika isteri kita tidak bekerja, mana dia nak cari duit untuk beli susu lampin anak? Nak meminta-minta kat orang lain? Duit dalam bank dah kena beku, kesian macamana isteri kita nak uruskan.. nak uruskan keluarga lagi, nak uruskan pengebumian kita, nak uruskan hal pusaka yang memeningkan kepala lagi. Silap-silap lagi harta yang patut menjadi hak mereka tak dapat kepada mereka. Nauzubillah.. minta dijauhkan.

Jadi saya menyeru anda yang membaca blog saya ini BERTINDAK sekarang. Buatlah wasiat! 

Agar dengan adanya wasiat ini, urusan orang-orang yang anda sayangi ini tidak terjejas setelah pemergian anda. Yang masih hidup dapat teruskan hidup mereka dengan aman, manakala kita di bawah sana dapat pergi dengan tenang. InsyaAllah.



Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjutan tentang penyediaan perancangan harta pusaka, Wasiat, Harta Sepencarian, Hibah dan Amanah, boleh hubungi saya:





Abd Karim Abu Bakar
(Perancang Harta Pusaka Islam)
Telefon/Telegram: 011 1035 6552
Email: abdkarimiep(at)gmail.com