Sunday, November 6, 2011

Warisan Kepada Cucu

Senario.
Pada 2005 Abdul Rahman meninggal dan mempunyai anak lelaki. Pada 2011 bapa Abdul Rahman meninggal. Adakah cucu lelaki itu layak mewarisi harta pusaka datuknya itu?
Jawapan:
Cucu ini tidak dapat mewarisi harta datuknya. Ini kerana Abdul Rahman meninggal dahulu daripada bapanya. Prinsipnya ialah waris hendaklah hidup semasa kematian seseorang.
Kesimpulan: Tanpa wasiat, cucu tidak mendapat apa-apa bahagian dari harta pusaka datuknya.
Apa patut datuk lakukan jika mahukan cucu kesayangannya mendapatkan bahagian harta pusakanya?

1. Semasa hidup datuk wajib membuat
dokumen wasiat.
2. Di dalam dokumen wasiat, datuk boleh memberikan
1/3 daripada hartanya kepada bukan waris. Dalam kes ini, datuk boleh mewariskan hartanya kepada cucunya. Datuk boleh memberi lebih daripada 1/3 tapi tertakluk kepada persetujuan warisnya.

3. Jika datuk hendak memastikan cucunya mendapat lebih daripada 1/3 tanpa dibantah waris faraid, maka hendaklah semasa hidup datuk menggunakan instrument Deklarasi Hibah. Harta yang dihibahkan kepada cucunya tidak lagi menjadi harta pusaka apabila beliau meninggal.

Lihatlah bagaimana dengan membuat wasiat, datuk dapat memastikan segala hasratnya terlaksana apabila beliau meninggal kelak. Anda bagaimana?


Anda mahu membuat wasiat dan hibah atau ingin maklumat lanjut? Hubungi saya:

Abd Karim Abu Bakar
Syariah Estate Planner
Telefon/sms: 011 1035 6552
Email: abdkarimiep<at>gmail.com
FB Page : Perancangan Harta Pusaka Anda"

Thursday, November 3, 2011

Wang Pencen Tidak Dikira Harta Pusaka


Soalan: SAYA ingin tahu mengenai wang ganjaran dan pencen   seorang kakitangan awam yang sudah meninggal dunia. Si mati mempunyai dua isteri, seorang diceraikan (dengan isteri ini dia mempunyai tiga anak berusia daripada 17 tahun hingga 20-an) manakala isteri keduanya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah. Kemusykilan saya ialah wang pencen dan ganjaran si mati hanya dinikmati oleh semua anak tirinya, isteri dan anaknya sendiri yang berusia 17 tahun saja. Dua lagi anak si mati tidak mendapat sebarang habuan. Saya berpendapat dalam hal ini pembahagian adalah sangat tidak adil kerana anak sendiri tidak mendapat apa-apa habuan daripada harta (wang ganjaran dan pencen) bapa mereka. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi?
Isteri musykil,Selangor.

JAWAPAN
: PUAN, untuk menjawab persoalan ini, rujukan akan dibuat terhadap Akta Pencen. Pencen adalah harta kepunyaan seseorang jika beliau menerima pencen itu semasa masih hidup. Oleh itu, apabila meninggal dunia, pencen yang masih belum sempat dikeluarkan semasa hayatnya adalah menjadi pusaka dan perlu dibahagikan menurut faraid.
Menurut Perkara 27 (1) Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 1980), wang pencen si mati boleh dibayar kepada orang tanggungan si mati tanpa perlukan sebarang surat kuasa.
Bagaimanapun, apabila ia termasuk sebagai pusaka, penerima pencen hendaklah membahagikannya kepada waris menurut faraid.
Merujuk persoalan puan, isteri yang diceraikan sebelum si mati meninggal dunia, tidak termasuk sebagai waris pusaka. Namun, puan tidak merujuk secara khusus dan jelas berkaitan anak dan isteri mana yang menerima wang pencen dan ganjaran si mati. Maka, huraian ini adalah khusus kepada huraian biasa berkaitan 1) pencen, 2) pencen terbitan, 3) ganjaran dan 4) ganjaran terbitan.

Apabila pesara meninggal dunia, bayaran pencen kepada akan diberhentikan. Bayaran pencen akan disambung bayar kepada orang tanggungan dan bayaran itu dinamakan Pencen Terbitan. Akta Pencen menetapkan apabila pesara meninggal dunia, bayaran pencen berikutnya akan dibayar kepada orang tanggungan yang layak menerima saja.
Tafsiran orang tanggungan menurut Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238) menyatakan, mereka termasuklah balu atau duda dan anak pesara (si mati) yang belum mencapai umur 21 tahun dan belum berkahwin serta anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi untuk ijazah pertama. Anak angkat, cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal sehingga tidak mampu menanggung diri sendiri juga layak mendapat pencen terbitan itu.
Untuk menentukan jumlah akan diterima setiap bulan oleh tanggungan, ia dikira 1/600 x tempoh perkhidmatan (dikira dalam bulan) x gaji terakhir pesara.
Menurut Wan Abdul Halim Wan Harun dalam Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka yang merujuk kertas taklimat Pengurusan Pencen di bawah Sistem Pentadbiran Pencen oleh Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam antara lain menyatakan, objektif Skim Pencen yang hanya dibuat kepada tanggungan pesara dan bukannya waris menurut faraid adalah untuk meringankan beban tanggungan dengan memberi saraan hidup kepada tanggungan pesara yang meninggal dunia sebagai pengorbanan atau pemberian kerajaan kepada kakitangannya. Maka, pencen terbitan TIDAK dikategorikan sebagai harta pusaka.

Ganjaran pula adalah pemberian majikan kepada kakitangan yang sudah bersara atau dikehendaki bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Ia diberikan secara sekali gus kepada anggota yang berpencen bukan seperti pencen yang akan dibayar setiap bulan kepada pesara.
Menurut Wan Abdul Halim yang merujuk Perkara 4 Peraturan-peraturan Pencen 1980 PU (A) 176 tahun 1980, ganjaran diberikan kepada pesara dikira mengikut formula yang ditetapkan iaitu 1/20 x tempoh perkhidmatan (dikira dalam bulan) x gaji terakhir diterima.
Namun, jika seseorang itu bersara, ganjaran akan diberikan kepadanya. Jika beliau meninggal dunia, ganjaran akan diberikan kepada tanggungannya iaitu balu, anak, duda dan ibu bapa. Ia dinamakan ganjaran terbitan.

Akta Pencen TIDAK mentakrifkan ganjaran terbitan sebagai harta pusaka si mati walaupun sehingga kini khalayak mempersoalkan supaya ganjaran terbitan boleh ditakrifkan sebagai harta pusaka dan hendaklah dibahagikan menurut faraid.
Sudah diperbincangkan bahawa ganjaran terbitan tidak boleh disamakan dengan pencen terbitan. Ini kerana pencen terbitan dikatakan sumbangan kerajaan kepada tanggungan si mati setiap bulan dan ia akan terhenti dengan sebab tertentu seperti apabila anak mencapai umur 21 tahun, sudah berkahwin, tamat pengajian ijazah pertama atau balu atau anak kurang upaya kemudian meninggal dunia.
Ganjaran terbitan diberikan bersangkutan dengan khidmat seseorang dalam kerajaan. Jumlah bayaran berdasarkan tempoh perkhidmatan pesara. Oleh itu, perkiraan ganjaran terbitan sudah ada dan jumlahnya sudah diketahui apabila berlaku kematian. Namun, sehingga kini tujuan dan matlamatnya kurang jelas.

Walaupun Jawatankuasa Fatwa pada 12 September 1988 menyarankan supaya Akta Pencen 1980 dikaji semula namun muzakarah bersetuju bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan TIDAK TERMASUK  sebagai harta pusaka dan kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.
Ini berdasarkan hujah jawatankuasa itu bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan yang diperuntukkan Akta Pencen 1980 ialah hadiah kerajaan kepada tanggungan kakitangan kerajaan apabila kakitangan itu meninggal dunia.
Pemberian dibuat atas asas ganjaran kerana perkhidmatan dengan kerajaan seperti diperuntukkan dalam Akta Pencen. Pemberian itu disebutkan sebagai hak tanggungan dan jumlahnya tidak diketahui. Maka, ganjaran dan pencen BUKANLAH  sebagai harta pusaka atau peninggalan si mati yang mesti dibahagikan menurut faraid.
Oleh itu, puan dinasihatkan merujuk persoalan puan kepada kaedah pembahagian di Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam demi mengetahui pembahagian dan tanggungan yang disenaraikan oleh pesara semasa hayatnya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.

Anda mahu membuat wasiat atau ingin maklumat lanjut? Hubungi saya:


Abd Karim Abu Bakar
Syariah Estate Planner
Telefon/wassap : 011 1035 6552
Email: abdkarimiep<at>gmail.com
FB Page: Perancangan Harta Pusaka Anda

Wednesday, October 26, 2011

Soaljawab Faraid: Anak Angkat, Anak Tiri dan Anak Tidak Sah Taraf

Senario:
Pak Mat sudah berkeluarga. Mempunyai 1 orang anak lelaki dengan isteri pertamanya. Isteri pertama ini telah meninggal dunia. Pak Mat berkahwin semula dengan isteri kedua yang telah merupakan janda beranak 1. Hasil perkongsian hidup dengan isteri kedua, Pak Mat dikurniakan dengan 1 orang anak perempuan. Pak Mat juga telah mengambil seorang anak angkat lelaki. Kedua-dua ibu bapa PakMat sudah tiada. PakMat mempunyai 1 ekar tanah, 2 buah rumah banglo, 2 apartment yang disewakan dan 2 kereta. Katakan PakMat meninggal dunia dan tidak membuat wasiat, bagaimanakan cara pembahagian harta pusaka beliau? 

Jawapan:
1. Kenalpasti semua waris PakMat.
Waris faraid PakMat adalah 1 anak lelakinya, 1 anak perempuannya dan isteri keduanya. Anak angkat dan anak tiri dari isteri keduanya bukanlah waris faraid.

2. Kira pembahagian faraid
Isteri - 1/8, Baki harta kepada anak-anak dengan nisbah anak lelaki 2 dan anak perempuan 1. Anak lelaki - 14/24 dan Anak perempuan - 7/24
Boleh gunakan Kalkulator faraid di http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/calculator/sifarbm.nsf/Pengenalan?


Kesimpulan: Tanpa wasiat, anak angkat dan anak tiri PakMat tidak mendapat apa-apa bahagian dari harta pusaka PakMat

Apa patut PakMat lakukan jika mahukan anak angkat dan anak tirinya mendapatkan bahagian harta pusakanya?

1. Semasa hidup PakMat membuat dokumen wasiat.

2. Di dalam dokumen wasiat, PakMat boleh memberikan 1/3 daripada hartanya kepada bukan waris. Dalam kes ini, PakMat boleh mewariskan hartanya kepada anak angkat dan anak tirinya tertakluk kepada 1/3 bahagian hartanya. PakMat boleh memberi lebih daripada 1/3 tapi tertakluk kepada persetujuan warisnya, dalam kes ini isterinya dan anak lelaki dan perempuannya.

3. Jika PakMat hendak memastikan anak angkat dan anak tirinya mendapat lebih daripada 1/3 tanpa dibantah waris faraid, maka semasa hidup PakMat boleh menggunakan instrument Deklarasi Hibah. Harta yang dihibahkan tidak lagi menjadi harta pusaka apabila beliau meninggal.

4. Jika PakMat mahukan isterinya mendapat lebih banyak hartanya, bukan hanya 1/8 bahagian apabila beliau meninggal, PakMat boleh menggunakan instrument Deklarasi Hibah. Satu lagi cara PakMat boleh juga menggunakan Deklarasi Harta Sepencarian. Bahagian harta yang diisytharkan dalam Deklarasi Harta Sepencarian tidak lagi menjadi harta pusaka apabila beliau meninggal.

Nota: Untuk anak tak sah taraf, hanya berhak mewarisi harta pusaka ibunya sahaja.

Lihatlah bagaimana dengan membuat wasiat, PakMat dapat memastikan segala hasratnya terlaksana apabila beliau meninggal kelak. Anda bagaimana?

Anda mahu membuat wasiat atau ingin maklumat lanjut? Hubungi saya:


Abd Karim Abu Bakar
Syariah Estate Planner
Telefon/Wassap: 011 1035 6552
Email: abdkarimiep<at>gmail.com
FB Page: Perancangan Harta Pusaka Anda